Monday, March 5, 2012

Salahuddin teresak-esak, air mata saya mengalir


YB Salahuddin Ayub menghubungi saya sekitar jam 6 petang ini. Kebetulan, ada di rumah saya di Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor. Saya tegur dia; demam ke? Kerana suaranya di hujung talian berbeza daripada biasa. Beliau memaklumkan YB Datuk Phahrolrazi dan YB Datuk Dr Ismail Salleh telah menerima keputusan PAS Pusat dengan nada tersekat-sekat, menangis teresak-esak. Alhamdulillah... tidak semena-mena mengalir deras air mata saya. Kegembiraan yang tidak terhingga. Saya sujud syukur dan membaca Al-Qur'an sambil menangis.
Apa yang saya alami mungkin tidak sama seperti orang lain. Semenjak YAB Perdana Menteri mengumumkan cadangan penyenaraian Felda Global Venture dalam Bajet pada 7 Oktober 2011 lalu; jiwa saya sangat tersentuh. Marah, sedih dan sering terganggu emosi saya. Berbulan-bulan saya bersama rakan-rakan NGO yang saya ketuai,  ANAK membuat pelbagai usaha. Ceramah, dialog, taklimat, laporan polis, serahan memorandum, laporan SPRM, bertemu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), serah memorandum kepada ANGKASA dan puluhan sidang media di merata negeri.

Saya teringat nasib peneroka Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Sendayan dan Labu Johnson. Hanya menang sorak tapi kampung tergadai. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Saya tidak mahu penderitaan mereka dirasai oleh warga Felda yang lain. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beri semangat yang kuat untuk saya dan ANAK menentang habis-habisan. Bukan sahaja dalam mesyuarat PAS Pusat tapi juga melalui perbincangan dan kadang kala beliau menelefon saya melalui Setiausaha Akhbarnya, Sdr Nasaie Ismail.

Saya jumpa YBM Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin politik, rakan-rakan NGO, group pemikir, bekas-bekas pegawai kanan Felda dan ramai lagi. Mereka memberikan pandangan dan tindakan yang mesti dibuat. Dr Rosli Yaakob, Lawyer Hj Haris Abdullah, Datuk Ramli Buyong, Hj Razman Zakaria, Ust Aris Faezol, Nasaie, Faizal, Yohanis (sekadar beberapa nama) antara yang cukup rapat dan banyak membantu. Kami sepakat menentang penyenaraian Felda Global Venture. Alhamdulillah, kami berjaya sekat cadangan EGM KPF pada 5 Januari 2012. Datang ujian berikutnya. Notis EGM KPF 22 Februari 2012. Lawyer Haris menyerahkan permohonan Injunksi Interim di Mahkamah Tinggi Kuantan pada sekitar jam 11 pagi 17 Februari 2012. Permohonan menghalang EGM KPF daripada melupuskan ekuiti KPF dan 10 anak syarikat dalam Felda Holding kepada Felda Global Venture Holding.

Hari Jumaat 17 Februari 2012 jam 3.25 petang tidak akan saya lupa sepanjang hayat. Lawyer Haris keluar dari bilik mahkamah mengangkat tangan dengan senyuman sambil menjerit, kita menang! Saya dan teman-teman yang menanti penuh sabar petang itu menyambutnya dengan laungan Allahuakbar berulangkali. Saya tidak terkata apa. Walau saya lelaki yang jarang menangis... air mata berderai. Syukur Alhamdulillah. Terimakasih Yang Arif Hakim Datuk Mariana Yahya kerana membenarkan permohonan lapan orang plaintif yang mewakili pemegang saham KPF bagi menghalang usul-usul seperti terkandung dalam notis yang dihantar kepada perwakilan EGM KPF.

Tanggal 19 Februari 2012, saya mengiringi Lawyer Haris menyerahkan perintah mahkamah kepada pihak KPF di Ibupejabat KPF di Jln Semarak KL. 21 Februari, Lembaga Pengarah KPF mengumumkan bahawa EGM KPF bertarikh 22 Februari 2012 dibatalkan. Syukur Alhamdulillah. Sekali lagi saya menangis gembira. 'Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu yang lemah ini sangat bersyukur; nikmat yang tidak terhingga yang Kau anugerahkan kepadaku'.

Saya menerima ratusan ucapan tahniah daripada berbagai pihak sama ada melalui panggilan telefon, sms, email dan facebook. Terima kasih atas sokongan anda semua!

Di tengah kekalutan dan kesibukan isu Felda, rakan-rakan Kedah memaklumkan cerita yang kurang enak didengar. Saya berulang alik ke Kedah memenuhi undangan ceramah dan program parti lebih 15 tahun. Saya mengenali rapat pimpinan PAS Kedah yang kini bergelar Exco Kerajaan Negeri. YB Nasir Mustapha, Adnan Saad, Aris Awang, Sanusi (Setpol YAB MB) adalah bekas pimpinan Pemuda PAS Kedah yang saya cukup rapat. Dari cerita mereka, sangat membimbangkan saya. Saya maklumkan kepada pemimpin kanan parti. Saya desak Hj Mohd Sabu, YB Salahudin dan Hj Mustapha Ali berbuat sesuatu dengan segera. Bayangkan, isu Felda dan Kedah betul-betul meletakkan saya selaku pemimpin PAS dalam tekanan yang tinggi. Harapan jutaan rakyat terpikul di bahu kami.

Mesyuarat Khas PAS Pusat pada 1 Mac 2012 di Pejabat Agung PAS, KL diadakan. Saya turut memberikan pandangan. Selesai membuat laporan polis di IPD Temerloh jam 12 tengah hari 3 Mac, saya bergegas ke Alor Setar. Sampai sekitar jam 9 malam. Selesai pertemuan serta sessi penghujahan Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Datuk Phahrolrazi, saya menyertai Mesyuarat Khas PAS Pusat. Sekali lagi saya memberikan pandangan. Tamat hampir jam 3 pagi. Saya ajak Sanusi, Setpol YAB Menteri Besar makan kerana perut terasa begitu lapar. Beberapa bulan kebelakangan ini selera makan saya merosot teruk. Saya percaya ada kaitan dengan rentetan polemik dan kemelut dua isu di atas.

Pagi Ahad, 4 Mac saya dan rakan-rakan dalam perjalanan balik ke KL singgah terlebih dahulu menziarahi AJK Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat, Sdr Saifulizan di rumah keluarganya di Taman Bee Bee Park, Alor Setar. Beliau dan isteri terlibat dengan kemalangan jalan raya. Berbeza ketika beliau masih dirawat di hospital swasta, Pulau Pinang; keadaannya makin bertambah baik walaupun perlu beberapa bulan lagi untuk pulih sepenuhnya. Hampir 10 tahun beliau membantu saya terutamanya menangani isu-isu Pulau Pinang. Seorang sahabat yang sangat komited dengan kerjanya.

Saya singgah di Butterworth jam 12.30 tengah hari. Bertemu YB Nasir Mustapha dan Aris Awang. Sebagai sahabat, saya mengingatkan mereka agar patuh dengan keputusan PAS Pusat. Saya berusaha menjadi pendengar yang baik. Pandangan mereka saya sampaikan kepada Salahudin. Saya rujuk kepada beliau kerana Salahudin adalah Pengerusi Jawatankuasa Khas Isu Kedah yang dilantik PAS Pusat. Saya sampai di rumah sekitar jam 11.30 malam.

Petang ini bila Salahudin memaklumkan berita ini; saya menulis untuk berkongsi kegembiraan ini. Berkongsi apa yang saya tanggung berbulan-bulan lamanya. Suka duka dalam mengharungi perjuangan sebenarnya suatu nikmat. Hari ini saya menerima NIKMAT BERGANDA. Meskipun saya memahami, ujian akan terus datang. Lawyer Haris hubungi saya tengah hari tadi. 8 Mac ini tempoh injunksi akan berakhir. Ada banyak lagi kerja yang mesti dibereskan. Sebentar tadi (9 malam) Sdr Taufeq salah seorang jawatankuasa Bertindak Isu Tanah Sg Kapal, Pengerang menelefon saya. Anak buahnya ditahan polis kerana pertahankan tanahnya daripada di ambil pemaju projek. Sudah pun di bawa ke IPD Kota Tinggi. Siang tadi YDP PAS Kota Tinggi, Hj Kamaldin juga menghubungi saya kerana beberapa orang anak Peneroka Felda Pasak mahu berjumpa kerana tidak berpuashati dengan pengagihan rumah Gen 2 yang tidak adil.

Sebagai anak Johor, saya dan Salahudin telah lebih 20 tahun bersama. Kami akan terus berjuang. Kemanisan dalam perjuangan yang tidak sama kalau nak dizahirkan dengan ungkapan kata-kata. Kepenatan dan keletihan tidak terperi rasanya. Tapi kami puas. Berbakti untuk rakyat, bersama denyut nadi rakyat. Sukar macam mana sekalipun, kami akan harungi, Insya Allah. Moga kami terus istiqamah berjihad di jalan Allah. Amin.

Mazlan Aliman
AJK PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
5 Mac 2012, selesai catatan 9.25 malam.

Saturday, January 7, 2012

OKU dapat bantuan daripda Pas Paya Besar

Baru-baru ini Pas Paya Besar melalui Cawangan Pas Panching Timur telah menyampaikan bantuan berbentuk wang tunai kepada seorang OKU iaitu Abdul Latif. Bantuan itu adalah sumbangan ahli dan ajk Pas Kawasan Paya Besar dan juga MTD Panching. Ustaz Yusof Embong selaku Yang Dipertua Pas Kawasan Paya Besar telah meluangkan masanya dan menyampaikan bantuan tersebut agar dapat meringankan bebannya untuk membaiki rumah beliau yang dah uzur.

Sebelum ini pengarah MTD Panching Ustaz Tarmizi Yahya telah pergi dengan rombongannya kerumah Abdul Latif untuk meninjau apa yang diperlukan oleh beliau untuk membaiki rumah tersebut. Dengan bantuan yang diusahakan oleh ajk Pas Paya Besar maka bolehlah beliau membaikpulih rumah itu. Abdul Latif yang cacat anggota kaki menggunakan bantuan tongkat untuk meneruskan hidupnya amat terharu dan berterimakasih dengan semua ajk pas. Walau bagaimanapun beliau masih lagi mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk meringankan bebanan bayaran untuk mengupah tukang.

sesiapa yang ingin membantua belaiu bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi beliau melalui telefon 019-99333786

Wednesday, January 4, 2012

Mahkamah benar sekat mesyuarat agung KPF

  
KUANTAN, 4 Jan: Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan peneroka Felda untuk menyekat mesyuarat agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dijadualkan esok.

Keputusan mahkamah ini dibuat berdasarkan permohonan injunsi yang dibuat oleh para peneroka bagi menghalang mesyuarat agung itu.
Pada 23 Disember lalu, empat orang ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF), Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh.
Mereka memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Permohonan itu difailkan oleh peguam Mohamad Harris Abdullah.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Perwakilan Khas Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang dijadualkan esok dibatalkan, serentak dengan itu saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang mesyuarat tersebut ditarik balik.

Mohd Harris Abdullah, berkata keputusan tersebut dibuat setelah peguam bagi pihak Felda mengemukakan pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya mesyuarat tersebut dibatalkan.

“Bagaimanapun jika pihak Felda meneruskan Mesyuarat Agung KPF, kami akan memfailkan injunksi lagi," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Harris, dalam perbicaraan hari ini pihak Felda gagal untuk memohon kos mahkamah ditanggung oleh pihak peneroka.

Rabu lalu, beliau telah mengemukakan interim injunction di mahkamah berkenaan bagi menghalang meyuarat agung KPF 5 Januari.

Difahamkan, mesyuarat khas KPF itu adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia.

Keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Tuesday, December 13, 2011

ANAK berdemo, tuntut pengarah Felda dikekalkan



Sekumpulan 50 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini berhimpun di hadapan ibu pejabat lembaga berkenaan untuk menuntut supaya pengarah besarnya, Datuk Zulkifli Wahab dikekalkan jawatannya.

NONEPengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang mengetuai kumpulan itu berkata, "penyingkiran" Zulkifli merupakan satu penghinaan kepada ketua eksekutif berkenaan.

Mazlan mendakwa, penyingkiran itu dibuat berdasarkan syor daripada pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad kepada perdana menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar.

Beliau turut mengedarkan salinan dokumen didakwa surat Isa kepada perdana menteri bertarikh 21 November berhubung syor berkenaan.

"Sesungguhnya ini adalah proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuk (Isa). Adalah menyedihkan seorang pengarah besar diperlaku begitu hina," kata Mazlan lagi dalam memorandumnya.


Jelasnya, Zulkifli disingkirkan kerana tidak bekerjasama dengan Isa dalam usaha untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum berkenaan kepada seorang pegawai kanan Felda, Mazlan mendakwa, Zulkifli telah menyatakan pendirian menentang tindakan "gali kubur warga Felda" melalui penyenaraian itu.

Zulkifli berbuat demikian dalam satu mesyuarat lembaga Felda sebelum ini, kata Mazlan ketika ditanya wartawan.

NONEMengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian itu akan menyebabkan pendapatan peneroka berkurangan sehingga 80 peratus daripada apa yang diunjurkan pada tahun lalu.

Jelasnya, penyenaraian berkenaan akan memberi keistimewaan kepada FGHV – antaranya pajakan tanah Felda seluas lebih 360,000 hektar dan juga hak mutlak ke atas tanaman, hasil jual beli dan juga insentif kerajaan.

"Maknanya kuasa (FGHV) sangat besar sehingga menelan (hak peneroka)," kata Mazlan lagi.

Mazlan juga berkata, sebab itulah juga keputusan untuk melantik Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dibuat oleh satu mesyuarat lembaga Felda pada 25 Ogos lalu, yang tidak dihadiri Zulkifli.

NONEMesyuarat tersebut dipanggil "secara tergesa-gesa" oleh Isa sendiri dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga tidak keluar daripada mesyuarat apabila pelantikan berkenaan dibincangkan, dakwa Mazlan.

Mazlan mendakwa, tindakan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Selain melaungkan slogan "halau Isa" dan "hidup peneroka", kumpulan peneroka dan aktivis yang berhimpun selama lebih setengah jam di hadapan ibu pejabat Felda, Jalan Perumahan Gurney itu turut membawa sepanduk bertulis "Allah selamatkan Felda dan warganya daripada golongan pengkhianat."

Friday, December 2, 2011

Hina peneroka: JKPP Felda mahu saman Isa



AMPANG, 28 Nov: Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda memberi tempoh 14 hari kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka.

Kata-kata penghinaan itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Melang Inn Kuala Pilah baru-baru ini.

"Kita telah melantik peguam untuk menuntut Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari dan menyiarkannya sekurang-kurangnya di lima buah akhbar.

"Jika enggan memohon maaf, kita akan meneruskan tindakan saman terhadap beliau," kata Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru, Shamsuddin Othman.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Kira-kira 15 anggota mereka turut serta pada sidang media itu termasuk pimpinan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang diketuai Azizah Bahari.

Dalam rakaman ucapan yang turut ditayangkan kepada media, Isa dilihat mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Dia juga secara jelas menujukan kenyataan-kenyataan itu kepada Shamsuddin yang disebutnya dalam ucapan itu dengan nama "Pak Sam".

Bagaimanapun tindakan Isa itu dianggap menghina seluruh peneroka kerana Shamsuddin adalah ketua peneroka Felda kebangsaan yang mewakili seluruh peneroka.

Menurut Shamsuddin lagi, penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal prolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada Felda Global Ventures untuk disenaraikan.

Sedangkan pendapatan Felda daripada tanah-tanah itu sekarang ini sekitar RM2 billion setahun.

"Ini kali pertama dalam sejarah, pengerusi Felda hina peneroka, tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu dalam video itu juga, Isa secara tersekat-sekat menggelarkan 'JKPP' sebagai 'JKK'.

"Setelah hampir setahun bertugas tetapi masih tidak mengetahui nama dan fungsi JKPP membuktikan Tan Sri Isa tidak layak menerajui Felda," katanya.

Tuesday, November 29, 2011

Penghinaan Isa memalukan seluruh warga Felda

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menganggap kes terbaru yang melibatkan penghinaan terhadap Ketua Peneroka Felda oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai kemuncak kemarahan warga Felda terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“DPP Malaysia membayangkan kenyataan beramaran oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka, Shamsuddin Othman menunjukkan warga Felda kini lebih berani, matang, terbuka serta mempunyai prinsip yang teguh dan perlu dihormati oleh semua pihak, termasuk Perdana Menteri,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) kepada Harakahdaily.

Bagi DPP Malaysia, katanya warga Felda telah lama menyimpan perasaan marah dan kecil hati ekoran pelantikan Isa yang dikatakan tidak kena pada tempatnya kerana dilantik tanpa rundingan dengan ahli jawatankuasa Felda.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri menggunakan sepenuhnya kuasa beliau dengan mengenepikan segala pandangan rakyat apabila meletakkan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi Felda,” katanya.

Menurutnya, insiden penghinaan Isa terhadap Ketua Peneroka Felda dalam satu majlis taklimat di Kuala Pilah menunjukkan tahap kesombongan beliau yang melampau.

Beliau berkata, tidak sepatutnya Pengerusi Felda itu menghina Pengerusi JKPP dalam majlis tersebut memandangkan beliau sendiri tidak sampai setahun memegang jawatan tertinggi di Felda, sedangkan Pengerusi JKPP itu telah berjasa besar terhadap Felda.

Baginya, penghinaan itu amat memalukan bukan sahaja kepada Pengerusi JKPP, bahkan kepada warga Felda keseluruhannya.

Katanya, Isa perlu mengenang segala jasa dan pengorbanan setiap individu yang terlibat dalam membangunkan Felda.

“Merekalah yang selama ini hidup dan mati bersama Felda dan hasil keringat merekalah Felda kini mendapat kuntungan berjuta ringgit,” ujarnya lagi.

Justeru, tambahnya DPP Malaysia mengingatkan, jika warga Felda sendiri melahirkan kemarahan terhadap Isa Samad dan pentadbiran Datuk Seri Najib, ini menunjukkan tiada jalan selamat untuk BN menang mudah dalam PRU ke-13 nanti.

Tambahnya, tiada lagi istilah fixed deposit jika PM terus berdegil mengekalkan Isa di jawatan tersebut.

Oleh itu, ujarnya DPP Malaysia mendesak agar Tan Sri Isa Samad memohon maaf secara terbuka kepada Shamsuddin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) di atas penghinaannya terhadap beliau dan meletak jawatan serta merta.

“Bagi DPP Malaysia, ini sebagai mesej jelas kepada PM agar mendengar rintihan hati rakyat dan jangan membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan dengan pelbagai pihak.

“Ia juga sebagai peringatan agar pemimpin jangan berlagak sombong dengan menghina orang lain di bawahnya!” ujarnya lagi.

Sunday, April 10, 2011

MENANTI KEHANCURAN BN SARAWAK


Pilihanraya Sarawak telah bermula. Pada 16 April nanti penduduk Sarawak yang layak akan membuang undi. Pilihanraya ini cukup mencabar kepada BN Sarawak yang diketuai Taib Mahmud kerana pelbagai isu yang yang tidak menyenangkannya.

Sarawak dianggap negeri yang agak ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung. Walaupun hasil mahsulnya banyak tetapi rakyat tidak dapat menikmatinya dengan sewajarnya kerana difaraidkan untuk keluarga Ketua Menteri dan kroninya. Aset-aset Taib telah lama didedahkan dalam laman sesawang.

Keadaan geografi Sarawak yang begitu luas dengan kemudahan perhubungan darat yang begitu terhad menyebabkan pilihanraya di Sarawak begitu mencabar pihak pembangkang. BN sudah pasti akan menggunakan pelbagai "senjata" terbaiknya untuk memenangi hati rakyat. Sudah tentu wang akan ditabur dengan begitu meluas dan janji-janji pilihanraya akan dihamburkan dengan sewenang-wenangnya.

Namun, jika parti pembangkang dapat menambah kemenangan dalam kerusi yang ditandingi atau mengambil alih pemerintahan di sarawak, maka ini akan membuka mata semua rakyat di Semenanjung dan Sabah bahawa tidaklah mustahil untuk menumpaskan BN di seluruh negara! Semoga rakyat Sarawak dapat membuktikan bahawa mereka lebih cerdik dari sesetengah golongan yang dikatakan "terpelajar" serta masih bersekongkol dengan BN/UMNO di Semenanjung.

ketua Penerangan MTD

Saturday, April 2, 2011

K'jaan tak boleh jamin harga RON 95 kekal

Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga petrol RON 95 buat masa ini sekalipun harga semasa minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan tidak dapat menjamin perkara tersebut pada masa depan jika krisis di negara pengeluar minyak berterusan.

petrol price hike consumer interview 040608 01"Sekarang ini kita (kerajaan) tanggung subsidi bagi RON 95 sebanyak 79 sen, tambahan subsidi sebanyak RM4 bilion,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2011, di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas kenaikan harga petrol RON 97 sebanyak 20 sen seliter yang berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, sekalipun kerajaan sebelum ini pernah menyatakan subsidi melebihi 30 sen ditanggung pengguna, namun demi kepentingan rakyat kerajaan tidak berbuat demikian menyebabkan beban subsidi yang ditanggung semakin besar.

Ditanya sama ada kenaikan harga RON 97 akan meningkatkan harga barangan, Ismail Sabri berkata tidak ada sebab untuk perkara itu berlaku memandangkan lori pengangkut menggunakan diesel.

NONEPada masa yang sama beliau turut meminta masyarakat mengubah sikap terlalu bergantung kepada subsidi kerana tindakan sedemikian mampu membantutkan usaha kerajaan membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

"Rakyat juga perlu tanya pada diri sendiri adakah perlu RM4 bilion itu kita nak tanggung subsidi minyak atau nak gunakan untuk pembangunan lain," katanya.

Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri berkata sebuah jawatankuasa kerja bagi meneliti cadangan mewujudkan kedai menjual bahan makanan pada harga diskaun sudah ditubuhkan.

"Kita akan bincang dengan beberapa pihak luar, peniaga dan sebagainya. Banyak perkara yang perlu kita lihat dari segi kedai mana yang hendak digunakan, apa produk yang hendak dijual. Tapi yang jelasnya produk yang nak dijual itu nanti mestilah betul-betul produk keperluan kita," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual bahan makanan pada harga diskaun untuk dijual kepada rakyat bagi membantu rakyat menghadapi inflasi.

Jika rakyat sedar akan kenaikan minyak adalah satu beban yang harus ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kalau pun harga minyak dunia naik, kita dapat untung dengan penjualan minyak kita melalui petronas ,lainlah kita tak ada minyak, ini satu lagi penipuan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN-Umno, Jika kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, maka 100 hari pertama yang akan dilakukan oleh PR ialah menurunkan harga minyak dan jika inginkan ini benar-benar berlaku kenapa tunggu lama lagi, jatuhkan segera kerajaan BN-Umno dengan seberapa segera.....

Monday, January 10, 2011

RAKYAT DIDAHULUKAN MENERIMA BEBAN

Kenaikan harga barangan keperluan yang mendadak sejak mutakhir ini amat membimbangkan. Ia membangkitkan keresahan yang melampau di kalangan rakyat yang sebahagian besarnya berpendapatan rendah dan sederhana. Di kalangan rakyat miskin perkara ini menjadi igauan buruk yang berpanjangan sepanjang tahun.

Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan pemerintah di bawah ketiga-tiga Perdana Menteri (PM) di Malaysia semenjak Dr Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Kenaikan harga barangan di bawah pentadbiran dua PM terdahulu tidak begitu ketara.Tetapi di era Najib, kenaikan harga barangan berlaku dengan begitu kerap tetapi dalam senyap-senyap tanpa bayangan awal. Kenaikan ikut suka ini seolah-olah tiada satu mekanisma kawalan harga yang boleh diharapkan untuk mengekangnya. Menteri-menteri hanya memberikan pelbagai alasan dari pelbagai sudut. Dalam keadaan penciptaan pelbagai alasan itu rakyat di luar parlimen tertekan dengan pelbagai masalah.

Bila berlaku kenaikan harga barangan keperluan harian, para peniga pula tidak dapat tidak terpaksa menaikkan pula harga jualan mereka. Sebelum ini masih boleh di dapati di kampung-kampung seperti Jaya Gading makanan pagi seperti nasi kerabu dan nasi berlauk yang berharga RM2.00 sebungkus atau sepinggan tetapi dalam bulan Januari tahun ini peniaga yang sama terpaksa menetapkan harga RM2.50. Menteri BN tentu tidak merasai kesan kenaikan harga barangan ini kerana sebelum ini pun mereka sudah biasa makan Nasi lemak berharga Rm8.00 sepinggan!

Semakin jelas bahawa jika dibiarkan BN memerintah terus negara ini rakyat akan lebih terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan yang tidak terkawal. Pemimpin BN tidak ada kesempatan memikirkan kesusahan rakyat kerana mereka sibuk mengumpulkan kekayaan peribadi dan para kroni. Marilah kita pakat "menendang" keluar BN dari parlimen dalam pilihanraya ke 13 nanti.

Saturday, November 13, 2010

MENERUSKAN KESINAMBUNGAN PERJUANGAN


Kita telah berada di penghujung suku terakhir 2010. Pada musim cuti sekolah yang bakal menjelang tentu sekali pelbagai program peribadi telah diatur sejak awal lagi. Mungkin ada yang merancang pulang ke kampung halaman bersama keluarga atau percutian ke tempat-tempat peranginan.

Walau apa pun perancangan untuk keseronokan diri dan keluarga, janganlah kita lupakan untuk merancang pengisian bagi anak-anak kita menjalani proses tarbiah ke arah merapatkan diri mereka dengan perjuangan yang kita dokongi ini.

Memang terdapat pelbagai program untuk dimanfaatkan oleh anak-anak kita sepanjang bermula bulan November dan Disember yang dianjurkan oleh pihak swasta sama ada dalam daerah atau di luar daerah. Bagi yang mampu mengeluarkan belanja dan ingin melihat anak-anak mengisi kekosongan masa cuti dengan berfaedah tentulah tidak menjadi masalah menghantar anak-anak ke mana sahaja. Bagi ahli yang tidak berkemampuan tentulah masa cuti anak-anak akan berlalu begitu sahaja tanpa pengisian yang boleh menguntungkan perjuangan PAS untuk jangka masa panjang,

Sehubungan dengan itu, adalah dicadangkan agar semua cawangan mengambil inisiatif untuk memulakan pendaftaran anak-anak ahli yang berada di sekolah rendah dan menengah serta yang berada di universiti tempatan agar mereka dapat digabungkan dalam majlis yang boleh di buat di peringkat cawangan ataupun MTD. Maklumat anak-anak ahli yang berada di pusat-pusat pengajian pondok atau Maahad Tahfiz juga perlu ada di peringkat cawangan. Apabila tiba saat di mana kita perlu kumpulkan semua pelajar ini untuk program rasmi, kerja kita akan menjadi lebih mudah. Inilah "simulasi" sebagai persediaan aset kita meneruskan kesinambungan perjuangan Islam- yang sepatutnya diteruskan oleh anak-anak kita.

Buat permulaan, sama-samalah kita mulakan di cuti sekolah tahun ini. Adakan majlis sehari bersama pelajar sekolah rendah dan sehari bersama pelajar sekolah menengah. Kenapakah sehari? Tidak buat kerja tanpa objektifkah? Kita boleh bermula sehari kerana objektif kita hanyalah untuk MEMBIASAKAN anak-anak ahli bertemu dahulu, sekadar taaruf awal. Ini disebabkan sudah lama majlis-majlis seperti ini seakan dilupakan.

Jangan sedih dengan sambutan kurang memberangsangkan.Jika kita tidak bermula, maka kita tidak akan bermula sampai bila-bila dan dibuai angan-angan. Gunakan ustaz-ustaz yang ada
dalam kawasan kita untuk memberikan tarbiah pada anak-anak. Fikir boleh...Insya Allah boleh..

Wednesday, November 10, 2010

Adun BN akui Umno punca tanah Melayu terhakis

JELUTONG, 11 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Farid Saad (gambar) mengakui kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno semasa berkuasa menjadi punca tanah orang Melayu makin berkurangan di Pulau Pinang.

Justeru itu, beliau sebagai generasi muda dalam Umno mahu membaikinya sekaligus memastikan lain-lain tanah yang masih dimiliki orang Melayu tidak diambil untuk pembangunan yang tidak terancang.

"Sebagai generasi muda dalam Umno, saya rasa ia perlu diperbetulkan apakah kesilapan lalu supaya tidak terus menjadi persoalan siapakah pengkhianat sebenarnya," ujarnya pada Debat Perdana Pengkisahan Tanah Melayu di Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Justeru, beliau mahu melupakan kisah lama yang ditinggalkan oleh generasi lama Umno yang nyata gagal menyelamatkan kedudukan tanah tersebut.

Dengan niat ikhlas, beliau mengajak semua parti politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu agar duduk semeja berbincang bagaimana cara terbaik menyelamatkannya.

"Soal parti terpulang pada rakyat. Saya tidak menghalang orang Melayu mahu memilih perjuangan mana yang mereka hendak kerana yang penting ialah ia jaga tanah masyarakat Melayu," kata beliau.

Program anjuran Yayasan Bina Ilmu itu membariskan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Yusoff Latif sebagai ahli panel.

Sunday, June 6, 2010

MENGUATKAN ORGANISASI MTD

Hari demi hari berlalu dengan begitu pantas semakin mendekatkan kita dengan pilihanraya umum ke 13. Suasana politik terkini begitu hangat dengan pelbagai isu dalam dan luar negara. Walau bagaimanapun, kehangatan isu semasa tidak sepatutnya melalaikan kita dari meneropong ke dalam batang tubuh organisasi kita yang perlu diperkukuhkan setiap masa.

Bagi memenangi sebarang DUN tidak boleh tidak kita perlu ada kekuatan akar umbi iaitu peringkat Unit Peti Undi (UPU). Untuk menguatkan UPU kita perlu ada kekuatan peringkat cawangan. Untuk mewujudkan cawangan yang kuat kita perlu ada tenaga penggerak atau Jawatankuasa Kerja yang aktif. Untuk mewujudkan satu jawatankuasa kerja yang aktif maka wajib bertitik tolak dari kewujudan satu perjumpaan yang kerap untuk menggembleng tenaga dan potensi setiap AJK yang sedia ada.

Perjumpaan yang kerap ini wujud hasil dari semangat dan pengorbanan seorang dua yang ada dalam cawangan tersebut iaitu Ketua Cawangan dan Setiausaha Cawangan. Kedua-dua individu ini mesti lebih kerap berkomunikasi antara satu sama lain serta seia sekata menerima arahan dari pucuk pimpinan dan melaksanakan arahan

Akan berlaku satu kepincangan yang amat ketara bila dua individu ini menjadi orang yang hidup nafsi-nafsi tidak memperdulikan apa yang sepetutnya dibuat untuk merealisasikan harapan jamaah.

Sehubungan dengan itu setiap cawangan wajib ada satu perjumpaan yang betul-betul berperanan untuk "mendengar dan melaksanakan arahan parti" setiap minggu dan setiap bulan. Inilah yang dinamakan Usrah atau mesyuarat. Perjumpaan secara harian sekalipun tetapi sekadar mengelilingi ustaz dan tok guru di surau, masjid atau markaz cawangan tidak akan membuahkan hasil yang dikehendaki oleh pimpinan jika tiada majlis yang mengadakan agenda khas membincangkan arahan jamaah.

Masa masih ada. Kita boleh berubah jika kita kita mahu. DUN Panching ada harapan untuk wakil kita dalam PRU ke 13. Insya Allah




Ketua Penerangan MTD.




















Thursday, April 29, 2010

HULU SELANGOR : PRK PALING TIDAK BERMARUAH

Rakyat sudah maklum keputusan PRK Hulu Selangor. BN "ditolong" untuk menang kali oleh pelbagai faktor "sokongan" yang terdiri dari SPR, pembelian undi, rasuah dan jentera-jentera kerajaan yang lain.

Menghabiskan lebih RM100 juta untuk mendapat majoriti 1752 undi tentulah amat tidak berbaloi. Sekarang BN memang gundah gulana memikirkan masa depan mereka dalam politik negara. Pengundi Cina betul-betul memberi isyarat yang jelas bahawa mereka menolak BN untuk terus mendominasi politik negara ini. Pengundi Melayu masih lagi berfikiran caca marba dalam menilai mana satu yang patut disokong kerana sebahagian besar masih lagi menganggap Umno sebagai tempat tawakkal yang tidak boleh ditinggalkan.

Penggundi India juga masih lagi berminat untuk tidur bersama BN sementelah pula calon kali ini adalah sebangsa dengan mereka. Tidak boleh tidak terpaksa menyokong anak-beranak mereka.

Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah KERJA UMNO /BN IALAH MENIPU DAN TERUS MENIPU. Kerja kita pula ialah berusaha AGAR TIDAK BERTERUSAN DITIPU. Langkah mengucar kacirkan daftar pemilih menjadi minat BN sejak dulu, kini dan selamanya. Memberi janji segera bernilai jutaan ringgit adalah perkara biasa. Mengisytiharkan projek segera sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Maka semua parti lawan BN akan menghadapi situasi yang sama untuk semua pilihanraya yang akan datang. Sebahagian besar pengundi yang tidak celik politik akan terus menganggap BN/UMNO sahaja penyelamat negara. Ajaran sesat inilah yang perlu dibanteras habis-habisan jika kita ingin memenangi hati rakyat. Pengundi Cina telah membuktikannya bahawa meraka tidak lapar kepada projek BN. Berbeza dengan pengundi Melayu yang masih lagi ada yang beranggapan "kalau BN kalah tidak adalah orang buat jalan dalam kampung kita" !

Tugas besar menanti kita untuk menumbangkan BN dalam PRU ke 13! Oleh itu janganlah kita terhegeh-hegeh lagi dalam menguruskan parti sehingga masih lagi terkial-kial untuk mengadakan mesyuarat dan mencukupkan korum.Perkuatkan MTD dan UPU. Rancang strategi yang membolehkan maklumat sampai ke akar umbi rakyat. Yang penting sekali ialah sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. untuk kehancuran ke atas UMNO/BN. Buatlah apa yang patut kita buat, jangan buat apa yang kita suka buat....



Ketua Penerangan MTD

Thursday, April 22, 2010

MEMPERINGATI HARI BUMI

Tanggal 22 April diisytiharkan Hari Bumi Sedunia. Masyarakat dunia memperingati hari ini dengan menekankan dari aspek penjagaan alam sekitar untuk "menyelamatkan bumi".

Maka akan wujudlah kempen alam sekitar untuk menjaga kebersihan bumi, tidak membuang sampah merata-rata, menjimatkan eletrik, air dan sebagainya. Contohnya disarankan agar seluruh dunia bergelap selama satu jam untuk menjimatkan letrik.

Dari sudut Islam, kempen "menjaga bumi" telah lama diperingatkan oleh Allah s.w.t. Bahkan segala kemusnahan alam ini memang disebabkan tangan-tangan manusia. Semua penekanan tentang menjaga kesempurnaan alam sekitar sudah termasuk di dalam akhlaq Islam.

Walau bagaimanapun, kita sebagai pejuang agama Allah hendaklah melihat perspektif tentang bumi dari sudut yang lebih luas. Bumi ialah tempat membina amal soleh yang berterusan sebelum kita "transit" di alam barzakh. Bumi ialah pinjaman. Tempat kekal ialah Akhirat yang tidak lagi akan kita hadapi kematian.

Oleh kerana kita akan menghadapi Allah s.w.t. yang mencipta bumi sebagai tempat tinggal, maka berjuanglah bersungguh-sungguh kerana akan kembali kepada Allah s.w.t. sebagai pemilik Akhirat juga. Di sinilah kesedaran perlu diberikan kepada mesyarakat - ikut "skrip" Allah s.w.t. dalam melayari kehidupan di bumi agar selamat di Akhirat.

Dan kepada pemimpin UMNO, kalau rasa tidak selesa dengan Islam sebagai hukum tertinggi, sila keluar dari bumi Allah s.w.t. duduk tempat lain....



Ketua Penerangan MTD Panching

Monday, March 29, 2010

KEPUTUSAN PEMILIHAN MCA: LAMBANG PERPECAHAN YANG SEMAKIN PARAH!

Parti MCA baru sahaja selesai menjalankan pemilihan kepimpinannya pada 28 Mac, 2010 yang lalu.Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan presiden parti itu dengan majotiti tipis 68 undi, mengenepikan bekas pemimpinnya, Tan Sri Ong Ka Ting serta penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Soi Lek mendapat 901 undi manakala Ka Ting memperolehi 833 undi. Tee Keat pula mendapat 578 undi.

Keputusan ini menunjukkan ketiga-tiga calon yang bertanding merebut jawatan presiden ini tetap mempunyai pengaruh masing-masing apabila memperolehi lebih 500 undi setiap seorang dari perwakilan yang hadir. Ong Ka Ting yang bertanding seolah-olah ingin menjadi "superman returns" bagi menawarkan diri menyelesaikan konflik kepimpinan dalam MCA yang tidak berkesudahan dan beliau membuktikan bahawa pengaruhnya masih kukuh di kalangan perwakilan MCA.

Kemenangan Soi Lek pula nampaknya penuh "bergaya" kerana walaupun terlibat dengan skandal seks yang tidak menjadi rahsia lagi di kalangan kawan dan lawan beliau tetap menjadi idola 901 perwakilan (yang mempunyai hobi sepertinya?) yang mengundi baru-baru ini.

Tee Keat walaupun gagal mempertahankan jawatannya namun undi beliau membuktikan kukunya dalam MCA tetap ada. Walaupun dikatakan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan UMNO dalam menerajui MCA namun pengaruhnya tetap wujud di sebahagian besar perwakilan MCA.

Semua ini menunjukkan betapa perpecahan dalam MCA semakin parah dan menjadi api dalam sekam yang tidak berkesudahan dalam menyemarakkan lagi dendam kesumat dan politiking sesama kepimpinan MCA. Undi Ka Ting dan Tee Keat merupakan undi golongan yang menolak pemimpin berskandal seperti Soi Lek. Adakah sekiranya pertandingan jawatan presiden ini merupakan pertandingan satu lawan satu antara Soi Lek dan Tee Keat maka keputusannya akan berlainan sama sekali? Namun, apa yang pasti kehendak perwakilan telah dizahirkan.

Kita berharap parti MCA semakin berpecah-belah seperti mana MIC dan UMNO dan semua ahli-ahli akar umbi ketiga-tiga parti perkauman ini akan berpindah kepada Pakatan Rakyat. Apa saja keputusan pemilihan parti MCA ini adalah melambangkan indivudu yang akan sama-sama memfaraidkan harta negara untuk kepentingan kroni masing-masing.

Sama-samalah kita mengambil kesempatan ini untuk memberikan alternatif kepimpinan Pakatan Rakyat kepada semua ahli ketiga-tiga parti perkauman ini. DUN Panching masih bermajoritikan pengundi Melayu. Sekiranya usaha yang berterusan dilakukan di kawasan pengundi Cina, tidak mustahil undi mereka memberikan impak yang mampu membawa kemenangan PAS dalam DUN ini pada pilihanraya ke 13.

Sunday, March 28, 2010

Apabila orang Umno yang menguasai masjid


Apabila orang dikalangan ahli Umno yang berkuasa di Masjid, maka banyaklah perkara yang tidak sepatutnya terjadi akan menjadi kenyataan. Masjid Jamek Batu 8 Jalan Gambang contohnya , penguasaan kroni dalam AJK Masjid begitu ketara setelah pengerusinya Sdr Majid Lagu merangkap ketua umno cawangan batu 7 dan jawatan penting dalam AJK seperti bendahari, timbalan pegerusi dan yang lainnya adalah dikalangan anak beranaknya. Bendahari yang menjaga akaun Masjid adalah adik kepada pengerusi.

Ada keluhan daripada jemaah Masjid tersebut yang ada jawatan dalam AJK Masjid tersebut tidak dipanggil bermesyuarat bagi meluluskan satu-satu agenda pembangunan Masjid. Masjid tersebut nampak 'mati' memandangkan tiadanya kuliah dan juga majlis keagamaan . Jemaah yang hadir juga berkurangan kerana tiada pengisian untuk jemaah dan mereka berhijrah ke Masjid berdekatan untuk mencari ilmu.

Apabila penguasaan mereka yang tidak mahukan islam berkembang ,inilah jadinya setelah umno yang sejak dari dulu lagi tidak mahu perkembangan islam berlaku di Malaysia dan berbagai kaedah dilakukan untuk menidakkan islam berkembang. mereka hanya tahu melakukan solat lima waktu, pergi haji dan bayar zakat fitrah, jika itu saja sudah mengcukupi untuk dipanggil orang islam , maka mereka masih lagi perlukan didikan yang sempurna untuk menjadi umat islam yang sempurna.

Berbeza sekali dengan masjid-masjid lain yang berhampiran yang sentiasa penuh dengan kuliah dan majlis keagamaan kerana mereka yang memegang jawatan dalam AJK Masjid bukan terdiri daripada kroni ataupun mempunyai tali kekeluargaan yang boleh dikuasai.

Tuesday, February 23, 2010

SKANDAL KEWANGAN JEJASKAN PM JEPUN

Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama kelmarin mengaku skandal wang yang melanda pentadbiran beliau adalah punca kekalahan calon kerajaan pada pilihanraya gabenor di Nagasaki. Tinjauan akhbar mendapati sokongan ke atas kerajaan beliau kini sudah merosot kepada hampir separuh sejak beliau menjadi Perdana Menteri lima bulan lalu.

Peristiwa ini menunjukkan betapa masyarakat Jepun amat sensitif terhadap sebarang tindak-tanduk pemimpin mereka. Mereka tidak bekompromi terhadap sebarang penyelewengan dalam pentadbiran sehingga menolak calon-calon kerajaan yang tidak amanah. Situasi ini amat berbeza dengan masyarakat Melayu yang mengambil masa terlalu lama untuk berubah "mengajar" sebarang pemimpin yang menyeleweng dalam negara. Bahkan masih ada rakyat negeri tertentu yang masih tidak mahu berubah sikap kerana kebulurkan duit dua tiga ratus ringgit menjelang piihanraya.

Pada zaman PM Tun Abdul Razak dan Tun Husein Onn pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) amat ditakuti oleh semua kakitangan kerajaan hingga kepada pak Menteri. Namun keadaan tidak lagi sedemikan bermula dari zaman Dr. Mahathir, Pak Lah sehinggalah ke era Najib sekarang. BPR (sekarang SPRM) tidak lagi menjadi satu badan yang benar-benar berwibawa bila berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Maka berlakulah pelabagai episod "katun" dalam siasatan SPRM yang jelas menunjukkan pelbagai tindakan terpilih dan tiada ketelusan.

Tidak ada cara lain untuk kita selesaikan fenomena ini melainkan dengan "menendang" keluar BN secara menyeluruh dari Parlimen. Bila pemerintahan peringkat pusat dikuasai oleh Pakatan Rakyat barulah kita selesaikan di mana berlaku "kebocoran" satu persatu dan membawa para penyangak negara ini ke muka pengadilan.

Untuk merealisasikan harapan ini tidak ada cara lain untuk kita selain terus memanjatkan doa kepada Allah s.w.t. tanpa jemu serta memperkukuhkan perpaduan sesama parti dalam Pakatan Rakyat dan memperkasakan struktur organisasi pilihanraya kita di semua peringkat. Masa untuk "berperang" sudah semakin hampir.

Jika orang Jepun boleh nampak penyelewengan dalam negara mereka dan menjejaskan PM mereka walaupun baru memerintah lima bulan, kita berharap usaha semua pihak dari PAS dan lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat dapat memberikan satu momentum baru kepada rakyat negara ini untuk mengajar BN yang telah memfaraidkan harta negara untuk kroni mereka sejak berpuluh tahun!


Wednesday, February 10, 2010

MENGHAYATI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah mengadakan satu ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul untuk golongan muslimat bertempat di Balai Purnama, Kg. Chendering, pada10 hb Februari, 2010 yang lalu. Penceramah jemputan ialah Ustaz Mohd Nawi Abdul Rahman.

Dalam muqaddimah ceramah beliau, Ustaz Mohd Nawi telah telah menerangkan betapa sambutan maulidur Rasul ini patut disambut dengan penghayatan terhadap perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengembangkan Islam. "Kisah Nabi patut menjadi pengajaran bagi orang yang ada akal. Rasul menjadi ikutan kita yang paling baik", ujar beliau setelah memetik beberapa ayat Al Qur'an yang berkaitan.

"Inilah tujuan sambutan maulidur Rasul, bukan mengajak orang berselawat semata-mata" tegas beliau lagi.

Beliau juga menarik perhatian hadirin dengan mengulas serba sedikit kenaikan harga barang yang terlalu kerap sejak akhir-akhir ini hingga membebankan rakyat. Pihak kerajaan telah mengenakan pelbagai cukai yang meresahkan rakyat seolah-olah tiada cara lain untuk memajukan ekonomi negara. "Kalau memerintah tiada duit tetapi minta dengan rakyat orang bodoh pun boleh memerintah." tegas beliau lagi.

Ustaz Mohd Nawi juga menyeru agar muslimat berani memperjuangkan kebenaran sebagaimana para Nabi dan Rasul serta jangan takut kehilangan rezki dan pelbagai halangan perjuangan. "Kita kena yakin rezki di tangan Allah s.w.t. Jangan takut anak tidak dapat masuk asrama atau tidak dapat biasiswa." ujar beliau.

Berhubung dengan masalah sosial yang melanda negara sekarang, beliau menarik perhatian muslimat yang hadir agar merenung gejala buang anak yang amat berleluasa kini. "Jahiliyyah zaman dahulu hanya buang anak perempuan sahaja tetapi mereka menanamnya. Jahiliyyah zaman sekarang anak dibuang tanpa mengira jantina dan dibuang merata tempat termasuk tempat pembuangan sampah." tegas beliau. Wanita juga telah dieksploitasi dengan begitu rakus sekali sehingga sanggup menjadi bahan iklan pelbagai produk. Perkara ini telah menjatuhkan martabat kaum wanita sedangkan Islam meletakkan darjat wanita di tempat yang tinggi.

Beliau juga berharap para muslimat mewajibkan diri belajar pada hari tertentu. Jangan batalkan program kuliah sewenang-wenang atau membuat program lain yang bersifat peribadi pada waktu kuliah. "Adalah lebih baik berbincang dengan tenaga pengajar agar memendekkan kuliah pada hari yang ditetapkan jika ada majlis lain daripada membatalkan terus." kata beliau lagi.

Selain dari itu beliau juga menyarankan agar setiap muslimat bijak mengambil peluang untuk meneliti siapakah yang hadir sewaktu kuliah diadakan. "Ahli-ahli yang baru hadir inilah yang boleh kita ajak ke lain-lain program yang lebih mendalam." seru beliau.

Di penghujung ceramah beliau, Ustaz telah mengesyorkan agar semua muslimat banyakkan membaca buku berkaitan peranan wanita Islam dan jadilah pendorong kepada suami masing-masing untuk sertai perjuangan.

Sunday, February 7, 2010

Mazlan Aliman buat laporan polis terhadap Felda di IPD Kuantan.



Pada pukul 11.00 pg diperkarangan IPD Kuantan dimana Sdr Mazlan Aliman Pengerusi ANAK bersama peneroka Felda sekitar Kuantan telah membuat satu aduan polis terhadap Felda. Seramai 20 orang peneroka bersama Sdr Mazlan Aliman telah membuat laporan polis bersama dengan satu laporan polis berkaitan dengan jenayah yang dilakukan oleh Felda terhadap peneroka.

Disini ada salinan lengkap laporan polis yang dibuat:

Laporan dibuat terhadap:-
1. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak
Perdana Menteri Malaysia.
2. YB Dato' Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
3. Tan Sri Dr Yusof Nor
Pengerusi Felda
4. Dato' Dzulkifli Abd Wahab
Pengarah Besar Felda
5. Felda Palm Industries Sdn. Bhd.

Pengenalan

Seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan telah memfailakn saman di mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 22 September 2002 terhadap Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Felda Kemahang 3, Ibrahim Ismail sebagai defendan kedua dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defandan ketiga. Para peneroka berkenaanmendakwa berlaku penipuan dalamurusan jual beli hasil sawit mereka.

Aduan
1. Hakim Datuk Mohd Azman Husin dalam keputusan penghakiman nya bertarikh 13 Januari 2008 berkata wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang sawit Felda untuk menipu gred harga sawit.

2. Hakim Datuk Mohd Azman Husin mendapati kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan kilang sawit Felda adalah tidak munasabah.

3. Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries membayar ganti rugi sebanyak RM 7.8 juta.

4. Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datu Gopal Sri Ram dalam keputusan rayuan Felda bertarikh 19 Januari 2010 di Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu,

5. Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar ganti rugi kepada 354 peneroka Felda Kemahang sebanyak RM 11 juta iaitu meningkat disebabkan faedah yang terkumpul dengan purata peneroka menerima RM 30,000.

Tuntutan

1. Pihak Polis mesti menyiasat dan mendakwa Felda atas tuduhan penipuan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

2. Pihak Polis mesti menyiasat adakah amalan penipuan tersebut masih berjalan sehingga hari ini.

3. Pihak Polis mesti menyiasat adakah penipuan dilakukan oleh induvidu dalam Felda atau ianya perancangan pengurusan Felda kerana terdapat 70 kilang kelapa sawit Felda seluruh negara.

4. Pihak Polis mesti menyiasat, wang RM11 juta untuk membayar gantirugi kepada 354 orang peneroka Felda Kemahang 3 menggunakan wang mana.

Keputusan Mahkamah Persekutuan memberi implikasi yang sangat besar kepada kehidupan 112,635 orang peneroka seluruh negara. Ketika ini ada satu lagi kes yang sama telah difailkan oleh lebih 600 orang peneroka Felda Gugusan Maokil, Labis Johor dengan tuntutan lebih daripada RM 70 juta di MAhkamah Tinggi Johor Bharu.

Sebarang penipuan , penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa telah mencalar reputasi Felda sebagai Agensi pembangunan tanah terbesar di dunia yang diterajui sendiri oleh Perdana Menteri. Ianya bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat ,tetapi mendatangkan kerugian besar kepada pendapatan peneroka.

Laporan dibuat kepada lima orang penama diatas kerana merekalah yang bertanggungjawap sepenuhnya terhadap dasar dan perjalanan Felda serta kaitan dengan aduan yang dibangkitkan.

Saya mendesak laporan ini disiasat dan tindakkan segera dapat dilakukan.

Tamat.

Laporan ini telah ditulis oleh Sdr Mazlan Aliman dan telah menjadi laporan polis yang juga telah dilaporkan oleh peneroka lain yang hadir dan ini telah menyebabkan kesesakan dalam balai polis di Kuantan. Laporan lain juga ada yang dilaporkan oleh peneroka dari Jengka 4 dimana ada penipuan tentang primium insuran yang terpaksa dibayar oleh peneroka sebanyak RM24 sebulan dan dipotong dari hasil pendapatan peneroka. Ini satu lagi penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pengurus Felda berkenaan yang memaksa peneroka membayar primium insuran tersebut tanpa persetujuan peneroka dan peneroka sendiri tidak tahu apakah bentu insuran tersebut. maklumat yang diterima menyatakan bahawa yang menjual insuran tersebut adalah isteri kepada pengurus Felda tersebut.

Sumber/Link

Sunday, January 31, 2010

MUSIM MUHASABAH GERAK KERJA PARTI

oleh K/penerangan MTD


Mulai bulan Februari ini semua PAS cawangan dalam kawasan kita akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Mesyuarat tahun ini tidak ada pemilihan Jawatankuasa Kerja tetapi lebih kepada agenda muhasabah segala kegiatan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2009.

Mesyuarat bukanlah satu perkara remeh dalam sesuatu organisasi. Apatah lagi sebagai sebuah harakah Islamiyyah yang mendokong citi-cita menegakkan syariat Islam,tuntutan untuk melakukan permesyuaratan dan muhasabah tidak dapat dinafikan lagi. Waktu inilah kita dapat menilai kembali sejauh mana usaha dan ikhtiar yang telah dilakukan untuk melebarkan pengaruh PAS dalam masyarakat.

Peringkat Cawangan dalam konteks organisasi PAS adalah peringkat akar umbi yang amat mustahak. Di sinilah wujudnya golongan amilin atau aktivis yang akan melaksanakan pelbagai arahan dari PAS Kawasan dan Majlis Tindakan DUN (MTD). Di sinilah wujudnya satu kelompok Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan, Jawatankuasa Pemuda Cawangan dan Jawatankuasa Muslimat Cawangan. Merekalah yang akan berdepan dengan masyarakat tempatan dan bertindak untuk menarik sokongan umum kepada PAS dan menolak Barisan Nasional (BN).

Berhubung dengan perlaksanaan tugas, sudah menjadi perkara biasa dalam cawangan hanya segelintir dari AJK yang bertungkus lumus untuk melaksanakan kerja parti. Fenomena ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Semua AJK Kerja PAS Cawangan tidak boleh menjadi penonton kepada apa yang dibuat oleh Ketua dan Setiausaha Cawangan. Tugas peringkat cawangan terlalu banyak dalam bentuk praktikal yang menuntut komitmen yang tinggi.

Berkaitan dengan komitmen kehadiran program-program PAS, setiap ahli PAS sepatutnya berusaha "memberi masa" agar dapat hadir dalam program parti dan bukannya berusaha "mencipta alasan" agar tidak dapat hadir dalam program parti peringkat cawangan. Bila ahli tidak hadir dalam program cawangan atau kawasan (yang mana perlu) maka akan wujudlah kelompangan maklumat yang sepatutnya dapat diselaraskan. Semua ini akan menimbulkan masalah dalam tugas-tugas yang bakal diamanahkan untuk seterusnya.

Maka marilah sama-sama menjadikan majlis Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk kita memperbaiki komitmen agar lebih bertanggungjawab sama ada sebagai ahli atau sebagai AJK Kerja PAS Cawangan. Allah s.w.t. amat pemurah dan pengasih kepada kita sehingga memberikan kita makanan setiap hai untuk memberikan tenaga, memberikan rumah yang selesa untuk didiami dan kenderaan yang mampu membawa kita ke mana sahaja hendak dituju. Tiada nikmat Allah s.w.t. yang dapat kita dustakan. Maka pergunakanlah kurnia Allah s.w.t. itu untuk merealisasikan cita-cita menegakkan Islam.