Tuesday, December 13, 2011

ANAK berdemo, tuntut pengarah Felda dikekalkan



Sekumpulan 50 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini berhimpun di hadapan ibu pejabat lembaga berkenaan untuk menuntut supaya pengarah besarnya, Datuk Zulkifli Wahab dikekalkan jawatannya.

NONEPengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang mengetuai kumpulan itu berkata, "penyingkiran" Zulkifli merupakan satu penghinaan kepada ketua eksekutif berkenaan.

Mazlan mendakwa, penyingkiran itu dibuat berdasarkan syor daripada pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad kepada perdana menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar.

Beliau turut mengedarkan salinan dokumen didakwa surat Isa kepada perdana menteri bertarikh 21 November berhubung syor berkenaan.

"Sesungguhnya ini adalah proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuk (Isa). Adalah menyedihkan seorang pengarah besar diperlaku begitu hina," kata Mazlan lagi dalam memorandumnya.


Jelasnya, Zulkifli disingkirkan kerana tidak bekerjasama dengan Isa dalam usaha untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum berkenaan kepada seorang pegawai kanan Felda, Mazlan mendakwa, Zulkifli telah menyatakan pendirian menentang tindakan "gali kubur warga Felda" melalui penyenaraian itu.

Zulkifli berbuat demikian dalam satu mesyuarat lembaga Felda sebelum ini, kata Mazlan ketika ditanya wartawan.

NONEMengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian itu akan menyebabkan pendapatan peneroka berkurangan sehingga 80 peratus daripada apa yang diunjurkan pada tahun lalu.

Jelasnya, penyenaraian berkenaan akan memberi keistimewaan kepada FGHV – antaranya pajakan tanah Felda seluas lebih 360,000 hektar dan juga hak mutlak ke atas tanaman, hasil jual beli dan juga insentif kerajaan.

"Maknanya kuasa (FGHV) sangat besar sehingga menelan (hak peneroka)," kata Mazlan lagi.

Mazlan juga berkata, sebab itulah juga keputusan untuk melantik Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dibuat oleh satu mesyuarat lembaga Felda pada 25 Ogos lalu, yang tidak dihadiri Zulkifli.

NONEMesyuarat tersebut dipanggil "secara tergesa-gesa" oleh Isa sendiri dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga tidak keluar daripada mesyuarat apabila pelantikan berkenaan dibincangkan, dakwa Mazlan.

Mazlan mendakwa, tindakan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Selain melaungkan slogan "halau Isa" dan "hidup peneroka", kumpulan peneroka dan aktivis yang berhimpun selama lebih setengah jam di hadapan ibu pejabat Felda, Jalan Perumahan Gurney itu turut membawa sepanduk bertulis "Allah selamatkan Felda dan warganya daripada golongan pengkhianat."

Friday, December 2, 2011

Hina peneroka: JKPP Felda mahu saman Isa



AMPANG, 28 Nov: Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda memberi tempoh 14 hari kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka.

Kata-kata penghinaan itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Melang Inn Kuala Pilah baru-baru ini.

"Kita telah melantik peguam untuk menuntut Tan Sri Isa Samad membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari dan menyiarkannya sekurang-kurangnya di lima buah akhbar.

"Jika enggan memohon maaf, kita akan meneruskan tindakan saman terhadap beliau," kata Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru, Shamsuddin Othman.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Kira-kira 15 anggota mereka turut serta pada sidang media itu termasuk pimpinan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang diketuai Azizah Bahari.

Dalam rakaman ucapan yang turut ditayangkan kepada media, Isa dilihat mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Dia juga secara jelas menujukan kenyataan-kenyataan itu kepada Shamsuddin yang disebutnya dalam ucapan itu dengan nama "Pak Sam".

Bagaimanapun tindakan Isa itu dianggap menghina seluruh peneroka kerana Shamsuddin adalah ketua peneroka Felda kebangsaan yang mewakili seluruh peneroka.

Menurut Shamsuddin lagi, penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal prolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada Felda Global Ventures untuk disenaraikan.

Sedangkan pendapatan Felda daripada tanah-tanah itu sekarang ini sekitar RM2 billion setahun.

"Ini kali pertama dalam sejarah, pengerusi Felda hina peneroka, tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu dalam video itu juga, Isa secara tersekat-sekat menggelarkan 'JKPP' sebagai 'JKK'.

"Setelah hampir setahun bertugas tetapi masih tidak mengetahui nama dan fungsi JKPP membuktikan Tan Sri Isa tidak layak menerajui Felda," katanya.