oleh K/penerangan MTD
Mulai bulan Februari ini semua PAS cawangan dalam kawasan kita akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Mesyuarat tahun ini tidak ada pemilihan Jawatankuasa Kerja tetapi lebih kepada agenda muhasabah segala kegiatan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2009.
Mesyuarat bukanlah satu perkara remeh dalam sesuatu organisasi. Apatah lagi sebagai sebuah harakah Islamiyyah yang mendokong citi-cita menegakkan syariat Islam,tuntutan untuk melakukan permesyuaratan dan muhasabah tidak dapat dinafikan lagi. Waktu inilah kita dapat menilai kembali sejauh mana usaha dan ikhtiar yang telah dilakukan untuk melebarkan pengaruh PAS dalam masyarakat.
Peringkat Cawangan dalam konteks organisasi PAS adalah peringkat akar umbi yang amat mustahak. Di sinilah wujudnya golongan amilin atau aktivis yang akan melaksanakan pelbagai arahan dari PAS Kawasan dan Majlis Tindakan DUN (MTD). Di sinilah wujudnya satu kelompok Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan, Jawatankuasa Pemuda Cawangan dan Jawatankuasa Muslimat Cawangan. Merekalah yang akan berdepan dengan masyarakat tempatan dan bertindak untuk menarik sokongan umum kepada PAS dan menolak Barisan Nasional (BN).
Berhubung dengan perlaksanaan tugas, sudah menjadi perkara biasa dalam cawangan hanya segelintir dari AJK yang bertungkus lumus untuk melaksanakan kerja parti. Fenomena ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Semua AJK Kerja PAS Cawangan tidak boleh menjadi penonton kepada apa yang dibuat oleh Ketua dan Setiausaha Cawangan. Tugas peringkat cawangan terlalu banyak dalam bentuk praktikal yang menuntut komitmen yang tinggi.
Berkaitan dengan komitmen kehadiran program-program PAS, setiap ahli PAS sepatutnya berusaha "memberi masa" agar dapat hadir dalam program parti dan bukannya berusaha "mencipta alasan" agar tidak dapat hadir dalam program parti peringkat cawangan. Bila ahli tidak hadir dalam program cawangan atau kawasan (yang mana perlu) maka akan wujudlah kelompangan maklumat yang sepatutnya dapat diselaraskan. Semua ini akan menimbulkan masalah dalam tugas-tugas yang bakal diamanahkan untuk seterusnya.
Maka marilah sama-sama menjadikan majlis Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk kita memperbaiki komitmen agar lebih bertanggungjawab sama ada sebagai ahli atau sebagai AJK Kerja PAS Cawangan. Allah s.w.t. amat pemurah dan pengasih kepada kita sehingga memberikan kita makanan setiap hai untuk memberikan tenaga, memberikan rumah yang selesa untuk didiami dan kenderaan yang mampu membawa kita ke mana sahaja hendak dituju. Tiada nikmat Allah s.w.t. yang dapat kita dustakan. Maka pergunakanlah kurnia Allah s.w.t. itu untuk merealisasikan cita-cita menegakkan Islam.
No comments:
Post a Comment