Monday, January 10, 2011

RAKYAT DIDAHULUKAN MENERIMA BEBAN

Kenaikan harga barangan keperluan yang mendadak sejak mutakhir ini amat membimbangkan. Ia membangkitkan keresahan yang melampau di kalangan rakyat yang sebahagian besarnya berpendapatan rendah dan sederhana. Di kalangan rakyat miskin perkara ini menjadi igauan buruk yang berpanjangan sepanjang tahun.

Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan pemerintah di bawah ketiga-tiga Perdana Menteri (PM) di Malaysia semenjak Dr Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Kenaikan harga barangan di bawah pentadbiran dua PM terdahulu tidak begitu ketara.Tetapi di era Najib, kenaikan harga barangan berlaku dengan begitu kerap tetapi dalam senyap-senyap tanpa bayangan awal. Kenaikan ikut suka ini seolah-olah tiada satu mekanisma kawalan harga yang boleh diharapkan untuk mengekangnya. Menteri-menteri hanya memberikan pelbagai alasan dari pelbagai sudut. Dalam keadaan penciptaan pelbagai alasan itu rakyat di luar parlimen tertekan dengan pelbagai masalah.

Bila berlaku kenaikan harga barangan keperluan harian, para peniga pula tidak dapat tidak terpaksa menaikkan pula harga jualan mereka. Sebelum ini masih boleh di dapati di kampung-kampung seperti Jaya Gading makanan pagi seperti nasi kerabu dan nasi berlauk yang berharga RM2.00 sebungkus atau sepinggan tetapi dalam bulan Januari tahun ini peniaga yang sama terpaksa menetapkan harga RM2.50. Menteri BN tentu tidak merasai kesan kenaikan harga barangan ini kerana sebelum ini pun mereka sudah biasa makan Nasi lemak berharga Rm8.00 sepinggan!

Semakin jelas bahawa jika dibiarkan BN memerintah terus negara ini rakyat akan lebih terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan yang tidak terkawal. Pemimpin BN tidak ada kesempatan memikirkan kesusahan rakyat kerana mereka sibuk mengumpulkan kekayaan peribadi dan para kroni. Marilah kita pakat "menendang" keluar BN dari parlimen dalam pilihanraya ke 13 nanti.

Saturday, November 13, 2010

MENERUSKAN KESINAMBUNGAN PERJUANGAN


Kita telah berada di penghujung suku terakhir 2010. Pada musim cuti sekolah yang bakal menjelang tentu sekali pelbagai program peribadi telah diatur sejak awal lagi. Mungkin ada yang merancang pulang ke kampung halaman bersama keluarga atau percutian ke tempat-tempat peranginan.

Walau apa pun perancangan untuk keseronokan diri dan keluarga, janganlah kita lupakan untuk merancang pengisian bagi anak-anak kita menjalani proses tarbiah ke arah merapatkan diri mereka dengan perjuangan yang kita dokongi ini.

Memang terdapat pelbagai program untuk dimanfaatkan oleh anak-anak kita sepanjang bermula bulan November dan Disember yang dianjurkan oleh pihak swasta sama ada dalam daerah atau di luar daerah. Bagi yang mampu mengeluarkan belanja dan ingin melihat anak-anak mengisi kekosongan masa cuti dengan berfaedah tentulah tidak menjadi masalah menghantar anak-anak ke mana sahaja. Bagi ahli yang tidak berkemampuan tentulah masa cuti anak-anak akan berlalu begitu sahaja tanpa pengisian yang boleh menguntungkan perjuangan PAS untuk jangka masa panjang,

Sehubungan dengan itu, adalah dicadangkan agar semua cawangan mengambil inisiatif untuk memulakan pendaftaran anak-anak ahli yang berada di sekolah rendah dan menengah serta yang berada di universiti tempatan agar mereka dapat digabungkan dalam majlis yang boleh di buat di peringkat cawangan ataupun MTD. Maklumat anak-anak ahli yang berada di pusat-pusat pengajian pondok atau Maahad Tahfiz juga perlu ada di peringkat cawangan. Apabila tiba saat di mana kita perlu kumpulkan semua pelajar ini untuk program rasmi, kerja kita akan menjadi lebih mudah. Inilah "simulasi" sebagai persediaan aset kita meneruskan kesinambungan perjuangan Islam- yang sepatutnya diteruskan oleh anak-anak kita.

Buat permulaan, sama-samalah kita mulakan di cuti sekolah tahun ini. Adakan majlis sehari bersama pelajar sekolah rendah dan sehari bersama pelajar sekolah menengah. Kenapakah sehari? Tidak buat kerja tanpa objektifkah? Kita boleh bermula sehari kerana objektif kita hanyalah untuk MEMBIASAKAN anak-anak ahli bertemu dahulu, sekadar taaruf awal. Ini disebabkan sudah lama majlis-majlis seperti ini seakan dilupakan.

Jangan sedih dengan sambutan kurang memberangsangkan.Jika kita tidak bermula, maka kita tidak akan bermula sampai bila-bila dan dibuai angan-angan. Gunakan ustaz-ustaz yang ada
dalam kawasan kita untuk memberikan tarbiah pada anak-anak. Fikir boleh...Insya Allah boleh..

Wednesday, November 10, 2010

Adun BN akui Umno punca tanah Melayu terhakis

JELUTONG, 11 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Farid Saad (gambar) mengakui kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno semasa berkuasa menjadi punca tanah orang Melayu makin berkurangan di Pulau Pinang.

Justeru itu, beliau sebagai generasi muda dalam Umno mahu membaikinya sekaligus memastikan lain-lain tanah yang masih dimiliki orang Melayu tidak diambil untuk pembangunan yang tidak terancang.

"Sebagai generasi muda dalam Umno, saya rasa ia perlu diperbetulkan apakah kesilapan lalu supaya tidak terus menjadi persoalan siapakah pengkhianat sebenarnya," ujarnya pada Debat Perdana Pengkisahan Tanah Melayu di Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Justeru, beliau mahu melupakan kisah lama yang ditinggalkan oleh generasi lama Umno yang nyata gagal menyelamatkan kedudukan tanah tersebut.

Dengan niat ikhlas, beliau mengajak semua parti politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu agar duduk semeja berbincang bagaimana cara terbaik menyelamatkannya.

"Soal parti terpulang pada rakyat. Saya tidak menghalang orang Melayu mahu memilih perjuangan mana yang mereka hendak kerana yang penting ialah ia jaga tanah masyarakat Melayu," kata beliau.

Program anjuran Yayasan Bina Ilmu itu membariskan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Yusoff Latif sebagai ahli panel.

Sunday, June 6, 2010

MENGUATKAN ORGANISASI MTD

Hari demi hari berlalu dengan begitu pantas semakin mendekatkan kita dengan pilihanraya umum ke 13. Suasana politik terkini begitu hangat dengan pelbagai isu dalam dan luar negara. Walau bagaimanapun, kehangatan isu semasa tidak sepatutnya melalaikan kita dari meneropong ke dalam batang tubuh organisasi kita yang perlu diperkukuhkan setiap masa.

Bagi memenangi sebarang DUN tidak boleh tidak kita perlu ada kekuatan akar umbi iaitu peringkat Unit Peti Undi (UPU). Untuk menguatkan UPU kita perlu ada kekuatan peringkat cawangan. Untuk mewujudkan cawangan yang kuat kita perlu ada tenaga penggerak atau Jawatankuasa Kerja yang aktif. Untuk mewujudkan satu jawatankuasa kerja yang aktif maka wajib bertitik tolak dari kewujudan satu perjumpaan yang kerap untuk menggembleng tenaga dan potensi setiap AJK yang sedia ada.

Perjumpaan yang kerap ini wujud hasil dari semangat dan pengorbanan seorang dua yang ada dalam cawangan tersebut iaitu Ketua Cawangan dan Setiausaha Cawangan. Kedua-dua individu ini mesti lebih kerap berkomunikasi antara satu sama lain serta seia sekata menerima arahan dari pucuk pimpinan dan melaksanakan arahan

Akan berlaku satu kepincangan yang amat ketara bila dua individu ini menjadi orang yang hidup nafsi-nafsi tidak memperdulikan apa yang sepetutnya dibuat untuk merealisasikan harapan jamaah.

Sehubungan dengan itu setiap cawangan wajib ada satu perjumpaan yang betul-betul berperanan untuk "mendengar dan melaksanakan arahan parti" setiap minggu dan setiap bulan. Inilah yang dinamakan Usrah atau mesyuarat. Perjumpaan secara harian sekalipun tetapi sekadar mengelilingi ustaz dan tok guru di surau, masjid atau markaz cawangan tidak akan membuahkan hasil yang dikehendaki oleh pimpinan jika tiada majlis yang mengadakan agenda khas membincangkan arahan jamaah.

Masa masih ada. Kita boleh berubah jika kita kita mahu. DUN Panching ada harapan untuk wakil kita dalam PRU ke 13. Insya Allah




Ketua Penerangan MTD.




















Thursday, April 29, 2010

HULU SELANGOR : PRK PALING TIDAK BERMARUAH

Rakyat sudah maklum keputusan PRK Hulu Selangor. BN "ditolong" untuk menang kali oleh pelbagai faktor "sokongan" yang terdiri dari SPR, pembelian undi, rasuah dan jentera-jentera kerajaan yang lain.

Menghabiskan lebih RM100 juta untuk mendapat majoriti 1752 undi tentulah amat tidak berbaloi. Sekarang BN memang gundah gulana memikirkan masa depan mereka dalam politik negara. Pengundi Cina betul-betul memberi isyarat yang jelas bahawa mereka menolak BN untuk terus mendominasi politik negara ini. Pengundi Melayu masih lagi berfikiran caca marba dalam menilai mana satu yang patut disokong kerana sebahagian besar masih lagi menganggap Umno sebagai tempat tawakkal yang tidak boleh ditinggalkan.

Penggundi India juga masih lagi berminat untuk tidur bersama BN sementelah pula calon kali ini adalah sebangsa dengan mereka. Tidak boleh tidak terpaksa menyokong anak-beranak mereka.

Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah KERJA UMNO /BN IALAH MENIPU DAN TERUS MENIPU. Kerja kita pula ialah berusaha AGAR TIDAK BERTERUSAN DITIPU. Langkah mengucar kacirkan daftar pemilih menjadi minat BN sejak dulu, kini dan selamanya. Memberi janji segera bernilai jutaan ringgit adalah perkara biasa. Mengisytiharkan projek segera sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Maka semua parti lawan BN akan menghadapi situasi yang sama untuk semua pilihanraya yang akan datang. Sebahagian besar pengundi yang tidak celik politik akan terus menganggap BN/UMNO sahaja penyelamat negara. Ajaran sesat inilah yang perlu dibanteras habis-habisan jika kita ingin memenangi hati rakyat. Pengundi Cina telah membuktikannya bahawa meraka tidak lapar kepada projek BN. Berbeza dengan pengundi Melayu yang masih lagi ada yang beranggapan "kalau BN kalah tidak adalah orang buat jalan dalam kampung kita" !

Tugas besar menanti kita untuk menumbangkan BN dalam PRU ke 13! Oleh itu janganlah kita terhegeh-hegeh lagi dalam menguruskan parti sehingga masih lagi terkial-kial untuk mengadakan mesyuarat dan mencukupkan korum.Perkuatkan MTD dan UPU. Rancang strategi yang membolehkan maklumat sampai ke akar umbi rakyat. Yang penting sekali ialah sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. untuk kehancuran ke atas UMNO/BN. Buatlah apa yang patut kita buat, jangan buat apa yang kita suka buat....



Ketua Penerangan MTD

Thursday, April 22, 2010

MEMPERINGATI HARI BUMI

Tanggal 22 April diisytiharkan Hari Bumi Sedunia. Masyarakat dunia memperingati hari ini dengan menekankan dari aspek penjagaan alam sekitar untuk "menyelamatkan bumi".

Maka akan wujudlah kempen alam sekitar untuk menjaga kebersihan bumi, tidak membuang sampah merata-rata, menjimatkan eletrik, air dan sebagainya. Contohnya disarankan agar seluruh dunia bergelap selama satu jam untuk menjimatkan letrik.

Dari sudut Islam, kempen "menjaga bumi" telah lama diperingatkan oleh Allah s.w.t. Bahkan segala kemusnahan alam ini memang disebabkan tangan-tangan manusia. Semua penekanan tentang menjaga kesempurnaan alam sekitar sudah termasuk di dalam akhlaq Islam.

Walau bagaimanapun, kita sebagai pejuang agama Allah hendaklah melihat perspektif tentang bumi dari sudut yang lebih luas. Bumi ialah tempat membina amal soleh yang berterusan sebelum kita "transit" di alam barzakh. Bumi ialah pinjaman. Tempat kekal ialah Akhirat yang tidak lagi akan kita hadapi kematian.

Oleh kerana kita akan menghadapi Allah s.w.t. yang mencipta bumi sebagai tempat tinggal, maka berjuanglah bersungguh-sungguh kerana akan kembali kepada Allah s.w.t. sebagai pemilik Akhirat juga. Di sinilah kesedaran perlu diberikan kepada mesyarakat - ikut "skrip" Allah s.w.t. dalam melayari kehidupan di bumi agar selamat di Akhirat.

Dan kepada pemimpin UMNO, kalau rasa tidak selesa dengan Islam sebagai hukum tertinggi, sila keluar dari bumi Allah s.w.t. duduk tempat lain....



Ketua Penerangan MTD Panching

Monday, March 29, 2010

KEPUTUSAN PEMILIHAN MCA: LAMBANG PERPECAHAN YANG SEMAKIN PARAH!

Parti MCA baru sahaja selesai menjalankan pemilihan kepimpinannya pada 28 Mac, 2010 yang lalu.Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan presiden parti itu dengan majotiti tipis 68 undi, mengenepikan bekas pemimpinnya, Tan Sri Ong Ka Ting serta penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Soi Lek mendapat 901 undi manakala Ka Ting memperolehi 833 undi. Tee Keat pula mendapat 578 undi.

Keputusan ini menunjukkan ketiga-tiga calon yang bertanding merebut jawatan presiden ini tetap mempunyai pengaruh masing-masing apabila memperolehi lebih 500 undi setiap seorang dari perwakilan yang hadir. Ong Ka Ting yang bertanding seolah-olah ingin menjadi "superman returns" bagi menawarkan diri menyelesaikan konflik kepimpinan dalam MCA yang tidak berkesudahan dan beliau membuktikan bahawa pengaruhnya masih kukuh di kalangan perwakilan MCA.

Kemenangan Soi Lek pula nampaknya penuh "bergaya" kerana walaupun terlibat dengan skandal seks yang tidak menjadi rahsia lagi di kalangan kawan dan lawan beliau tetap menjadi idola 901 perwakilan (yang mempunyai hobi sepertinya?) yang mengundi baru-baru ini.

Tee Keat walaupun gagal mempertahankan jawatannya namun undi beliau membuktikan kukunya dalam MCA tetap ada. Walaupun dikatakan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan UMNO dalam menerajui MCA namun pengaruhnya tetap wujud di sebahagian besar perwakilan MCA.

Semua ini menunjukkan betapa perpecahan dalam MCA semakin parah dan menjadi api dalam sekam yang tidak berkesudahan dalam menyemarakkan lagi dendam kesumat dan politiking sesama kepimpinan MCA. Undi Ka Ting dan Tee Keat merupakan undi golongan yang menolak pemimpin berskandal seperti Soi Lek. Adakah sekiranya pertandingan jawatan presiden ini merupakan pertandingan satu lawan satu antara Soi Lek dan Tee Keat maka keputusannya akan berlainan sama sekali? Namun, apa yang pasti kehendak perwakilan telah dizahirkan.

Kita berharap parti MCA semakin berpecah-belah seperti mana MIC dan UMNO dan semua ahli-ahli akar umbi ketiga-tiga parti perkauman ini akan berpindah kepada Pakatan Rakyat. Apa saja keputusan pemilihan parti MCA ini adalah melambangkan indivudu yang akan sama-sama memfaraidkan harta negara untuk kepentingan kroni masing-masing.

Sama-samalah kita mengambil kesempatan ini untuk memberikan alternatif kepimpinan Pakatan Rakyat kepada semua ahli ketiga-tiga parti perkauman ini. DUN Panching masih bermajoritikan pengundi Melayu. Sekiranya usaha yang berterusan dilakukan di kawasan pengundi Cina, tidak mustahil undi mereka memberikan impak yang mampu membawa kemenangan PAS dalam DUN ini pada pilihanraya ke 13.