Wednesday, December 9, 2009

ADUN Melor sakit ketika tunaikan haji


Menteri besar Kelantan mengesahkan bahawa ADUN Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, yang sedang menghadapi kes tuntutan mutaah bekas isterinya membabitkan RM3 juta, kini uzur ketika mengerjakan haji di tanah suci Makkah.

Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang juga mursyidul am PAS, berkata pegawainya menerima panggilan telefon semalam dari Wan Ismail, di Makkah, menyatakan beliau sakit ketika mengerjakan haji di tanah suci itu, lapor Bernama.

Menteri besar itu berkata, beliau tidak mengetahui secara jelas penyakit yang dihidapi ADUN itu hanya berdoa supaya kesihatannya kembali pulih dan dapat kembali ke tanah air mengikut jadual.

"Saya hanya dapat tahu dari pegawai saya semalam, Wan Ismail sakit di Makkah dan keadaannya agak letih dan saya mendoakan agar kesihatannya pulih," beliau dipetik berkata di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas keadaan Wan Ismail selepas timbul spekulasi ADUN itu dikatakan muntah darah dan uzur teruk ketika menunaikan haji.

Wan Ismail, 59, menghadapi kes tuntutan mutaah Siti Aishah Chou Abdullah, 25, berasal dari Kemboja, sebagai pampasan perceraian mereka mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.

Pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata, Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, disahkan bercerai pada 18 November tahun lalu oleh mahkamah yang sama.

Pada pilihan raya umum 2008, Wan Ismail mengalahkan penyandang kerusi DUN Melor, Azmi Ishak (BN) dengan majoriti 1,616
undi setelah beliau memperoleh 8,390 undi.

DUN Melor terletak bawah kerusi parlimen Ketereh yang mempunyai dua lagi kerusi DUN, Kadok dan Kok Lanas.

lapor Malaysiakini.....

No comments:

Post a Comment